Ahli psikologi, Charles Lowery mengeluh kepada sahabatnya tentang kesakitan di belakang badannya. Dia ingin meraih simpati daripada sahabatnya itu, tetapi apa yang diterimanya adalah satu penilaian yang jujur. Sahabatnya berkata, “Saya berpendapat masalah anda bukanlah sakit belakang; punca kesakitan ini disebabkan oleh perut anda. Perut anda terlalu besar sehingga ia menyebabkan belakang badan anda melengkung dan mengalami kesakitan.”
Dalam kolum Majalah REV! yang ditulisnya, Charles memberi perkongsian bahawa dia menahan untuk tidak berasa tersinggung. Namun setelah berat badannya berkurang, kesakitan pada belakang badannya pun hilang. Charles mengakui bahawa “Lebih baik teguran yang terus terang daripada kasih yang tidak diungkapkan. Seorang kawan memukul dengan maksud baik” (Amsal 27:5-6).
Masalahnya, kita sering kali lebih suka dibinasakan oleh pujian daripada diselamatkan oleh kritikan, kerana kebenaran adalah menyakitkan hati. Ia akan mencabar rasa ego kita serta menyebabkan ketidakselesaan, dan seterusnya menuntut kita berubah.
Sahabat yang sejati tidak akan berasa gembira apabila kita disakiti hati. Mereka amat mengasihi kita sehingga tidak mahu menipu kita. Ada orang dengan keberanian yang penuh kasih, menunjukkan kita apa yang mungkin kita telah ketahui tetapi sukar untuk diterima dan mengakuinya dengan ikhlas. Mereka memberitahu kita bukan sahaja apa yang kita suka dengar tetapi juga apa yang perlu kita dengar.
Raja Salomo amat menghormati persahabatan sedemikian dalam amsalnya. Yesus menanggung luka-luka daripada penolakan kita bukan sahaja untuk memberitahu kita akan kebenaran tentang diri kita, malahan memperlihatkan Dia sangat mengasihi kita.