Tuhan sering kali memilih untuk bertindak melalui doa-doa kita demi melaksanakan pekerjaan-Nya. Kita boleh melihat perkara ini ketika Tuhan memberitahu Elia, “Aku akan menurunkan hujan di tanah itu,” (1 RAJA-RAJA 18:1) dan berjanji akan menamatkan kemarau di negeri Israel yang sudah berlangsung selama tiga tahun setengah (Yakobus 5:17). Walaupun Tuhan telah berjanji akan menurunkan hujan, namun tidak berapa lama kemudian, “Elia naik ke puncak Gunung Karmel. Di sana dia bersujud sampai ke tanah dengan kepalanya di antara kedua-dua lututnya”—dia berdoa dengan bersungguh-sungguh agar hujan turun (1 Raja-Raja 18:42). Kemudian, ketika dia terus berdoa, Elia mengutus hambanya pergi ke laut untuk memeriksa sebanyak “tujuh kali” sama ada terdapat tanda-tanda hujan (Ayat 43).

Elia faham bahawa Tuhan menginginkan kita turut terlibat dalam pekerjaan-Nya melalui doa yang berterusan dan rendah hati. Walaupun kita mempunyai keterbatasan, Tuhan akan memilih untuk bertindak melalui doa kita dengan cara yang menakjubkan. Itulah sebabnya Yakobus menulis, “Doa orang yang melakukan kehendak Allah mempunyai kuasa yang besar,” dan selalu mengingatkan kita bahawa “Elia pun orang biasa seperti kita” (Yakobus 5:16-17).

Apabila kita mempunyai matlamat untuk melayani Tuhan melalui sikap yang tekun berdoa sebagaimana yang dilakukan oleh Elia, maka kita sedang turut melibatkan diri dalam sesuatu yang istimewa—kita akan diberi keutamaan untuk terlibat dalam keajaiban!