Apabila saya mula bekerja, saya menganggap kerjaya ini sebagai misi dan bukan semata-mata pekerjaan. Masa itu ada sebuah syarikat lain telah menawarkan saya satu jawatan dengan gaji yang amat lumayan. Sudah pasti situasi kewangan keluarga kami akan bertambah baik kerana jawatan tersebut. Namun masalahnya, saya tidak pernah mencari pekerjaan lain kerana saya berpuas hati dengan peranan saya sekarang ini, yang telah berubah menjadi satu panggilan.

Akan tetapi berkenaan dengan wang …

Saya menelefon bapa saya yang sudah berusia tujuh puluhan dan menjelaskan situasi tersebut. Walaupun keadaannya sudah agak nyanyuk disebabkan oleh strok dan usia tua, jawapannya amat jelas dan tegas: “Jangan fikirkan tentang wang semata-mata. Apakah yang anda dapat lakukan dengan wang?”

Saya terus sedar pada saat itu. Saya tidak ingin meninggalkan kerja yang saya suka ini kerana wang. Terima kasih, bapa.

Dalam Khutbah di atas Bukit, Yesus menonjolkan satu hal penting mengenai wang dan kesukaan kita akan wang. Dia mengajar kita agar tidak berdoa untuk mendapatkan kekayaan tetapi untuk “makanan yang [kita] perlukan pada hari ini” (Matius 6:11). Dia memberi peringatan agar kita tidak mengumpulkan harta di bumi, serta memberi perumpamaan tentang burung-burung dan bunga-bunga sebagai bukti bahawa Tuhan amat memelihara ciptaan-Nya (Ayat 19-31). Yesus berkata, “Sebaliknya utamakanlah Pemerintahan Allah dan lakukanlah kehendak-Nya, lalu Allah akan memberikan semua itu kepada kamu” (Ayat 33).

Wang memang penting. Tetapi ia tidak seharusnya menguasai kita dalam proses membuat keputusan. Masa kesukaran dan masa membuat keputusan penting adalah peluang bagi kita bertumbuh dalam iman dengan cara yang baharu. Bapa kita yang di syurga memelihara kita.