Cuaca pada pagi itu agak gelap. Awan kelabu dalam kedudukan rendah menyelubungi langit, dan atmosferanya kelam sehingga saya terpaksa memasang lampu untuk membaca buku. Saya baru sahaja duduk dengan baik ketika bilik itu tiba-tiba diterangi cahaya. Saya memandang ke luar dan melihat angin sedang meniup awan kelabu ke arah timur, sehingga langit menjadi cerah dan matahari mulai kelihatan.

Tatkala saya berjalan ke tingkap untuk melihat apa yang terjadi di langit, fikiran ini terlintas dalam minda saya: “Kegelapan hampir berlalu, dan cahaya yang sejati mula bersinar” (1 Yohanes 2:8). Rasul Yohanes menulis kata-kata ini kepada orang percaya sebagai satu mesej dorongan. Dia meneruskan kata-katanya, “Sesiapa yang mengasihi saudaranya, hidup dalam cahaya sehingga tiada suatu pun pada dirinya yang akan menyebabkan [dia] berdosa” (Ayat 10). Sebagai perbandingan, dia menggambarkan kebencian terhadap orang lain sama dengan keadaan yang teraba-raba dalam kegelapan. Kebencian akan menyesatkan kita; ia menghapuskan pengertian kita akan nilai moral dalam kehidupan.

Ini bukan mudah untuk mengasihi orang. Namun pada saat saya menjenguk ke luar tingkap, saya diperingatkan bahawa kita akan mengalami kekecewaan, belajar tentang pengampunan dan kesetiaan apabila hidup dalam kasih dan cahaya Tuhan. Ketika kita memilih kasih dan bukannya kebencian, kita sedang menunjukkan hubungan kita dengan Tuhan serta memantulkan sinar-Nya kepada dunia di sekeliling kita. “Allah itu cahaya, dan pada-Nya tidak ada kegelapan sama sekali” (1 Yohanes 1:5).