Ketika perang tercetus pada tahun 1950, Kim Chin-Kyung yang berumur lima belas tahun telah menyertai angkatan tentera Korea Selatan untuk melindungi tanah airnya. Walau bagaimanapun, tidak lama kemudian dia mendapati bahawa dia masih belum bersedia untuk menghadapi kengerian dalam pertempuran. Tatkala rakan-rakan seperjuangannya yang masih muda mati bergelimpangan di sekelilingnya, dia memohon kepada Tuhan agar melindungi nyawanya dan berjanji bahawa jika dia masih diberi kesempatan untuk hidup, dia akan belajar untuk mengasihi musuhnya.
Enam puluh lima tahun kemudian, Dr. Kim mengingat kembali doa yang telah terjawab itu. Berdekad-dekad tahun dia memberikan sumbangan dalam kebajikan anak-anak yatim serta pendidikan di Korea Utara dan muda-mudi Cina. Melalui kesemua usaha itu, dia telah berjaya berkawan dengan ramai orang yang pernah dianggapnya sebagai musuh. Pada hari ini, dia elak daripada dilabelkan sebagai seorang ahli politik. Sebaliknya dia memanggil dirinya seorang ‘pengasih’, satu ungkapan tentang imannya kepada Yesus.
Sikap Nabi Yunus pula adalah berlainan. Meskipun dia mengalami penyelamatan yang dramatik dari perut ikan besar, ini tidak mengubah hati Yunus. Akhirnya walaupun dia mentaati Tuhan, dia berkata, “Lebih baik aku mati daripada hidup!” Dia tidak ingin melihat Tuhan menunjukkan belas kasihan kepada musuhnya (Yunus 4:1-2, 8).
Kita tidak tahu sama ada Yunus telah belajar untuk mengambil berat terhadap penduduk Nineweh. Sebaliknya kita perlu bertanyakan diri sendiri. Adakah kita akan bersikap sedemikian terhadap orang yang kita takut dan benci? Atau adakah kita akan memohon kepada Tuhan agar diberikan kemampuan untuk mengasihi musuh-musuh kita, sebagaimana Dia telah menunjukkan rahmat-Nya kepada kita?