Pagi itu merupakan pagi yang agak sibuk, ketika saya membantu di dalam bilik bayi di gereja. Kira-kira dua belas orang kanak-kanak kecil sedang bercakap-cakap dan bermain bersama. Oleh sebab terlalu banyak aktiviti dijalankan sehingga bilik itu terasa panas, jadi saya membuka pintu bilik. Saat itu seorang budak lelaki melihatnya sebagai satu peluang untuk “melarikan diri.” Maka, apabila dia berfikir bahawa tidak ada orang yang memerhatikannya, dia berjalan berjengket-jengket keluar dari bilik itu. Dengan segera saya mengikut di belakangnya, tidak hairanlah bahawa dia meluru ke dalam pelukan bapanya.
Budak lelaki itu telah melakukan apa yang kita perlukan apabila kehidupan menjadi sibuk dan meletihkan—dia menyusup keluar untuk pergi kepada bapanya. Yesus mencari peluang untuk meluangkan masa dengan Bapa-Nya yang di syurga dalam doa. Mungkin ada orang yang berkata bahawa inilah cara Yesus mendapatkan kekuatan semula ketika berhadapan dengan tuntutan orang ramai. Menurut Injil yang ditulis oleh Matius, Yesus pergi ke tempat terpencil ketika sekumpulan orang ramai mengikut Dia. Yesus mengetahui keperluan mereka, maka Dia menyembuhkan mereka dan memberi mereka makanan secara ajaib. Bagaimanapun, selepas itu, Dia “naik ke bukit seorang diri lalu berdoa” (Ayat 23).
Yesus telah berulang-kali menolong orang ramai, namun Dia tidak membiarkan diri-Nya menjadi lesu dan kelam-kabut. Dia memelihara hubungan-Nya dengan Tuhan melalui doa. Bagaimanakah dengan anda? Adakah anda mengambil masa untuk bersendirian dengan Tuhan demi mengalami kekuatan dan kepenuhan-Nya?