Pada bulan Ogos 2010, perhatian dunia tertumpu kepada corong sebuah lombong berhampiran Copiapó, Chile. 33 orang pelombong terhimpit dalam kegelapan kerana terperangkap sejauh 700 meter di bawah tanah. Mereka tidak tahu sama ada bantuan akan sampai. Selepas menunggu selama 17 hari, mereka mendengar bunyi gerudi. Para penyelamat menggerudi sebuah lubang kecil di siling corong lombong, dan diikuti tiga buah lubang lagi, untuk memasukkan saluran panjang bagi penghantaran air, makanan dan ubat-ubatan. Para pelombong yang terperangkap itu bergantung sepenuhnya pada saluran yang berhubung ke atas permukaan tanah, tempat yang semua keperluan bekalan telah disediakan oleh para penyelamat. Pada hari yang ke-69, akhirnya pelombong terakhir berjaya dibawa keluar ke permukaan atas.
Tidak seorang pun dapat hidup di dunia ini tanpa sumber bekalan yang diperuntukkan kepada kita. Tuhan, Pencipta alam semesta, adalah pembekal bagi segala yang kita perlukan. Seperti laluan yang digerudi untuk pelombong yang terperangkap itu, doa menghubungkan kita kepada Tuhan, pembekal agung kita.
Yesus menggalakkan kita untuk berdoa, “Berilah kami makanan yang kami perlukan pada hari ini” (Matius 6:11). Makanan merupakan keperluan asas kehidupan manusia yang utama setiap hari. Yesus mengajar kita untuk berdoa bukan sahaja untuk keperluan fizikal kita tetapi juga segala yang kita perlukan—penghiburan, kesembuhan, galakan dan kebijaksanaan.
Melalui doa, kita akan dapat berhubung dengan Tuhan pada bila-bila masa, dan Dia tahu apa yang kita perlukan sebelum kita meminta (Ayat 8). Apakah yang anda usahakan pada hari ini? “[TUHAN] dekat dengan orang yang berseru kepada-Nya. (Mazmur 145:18).
percaya bahawa Tuhan mengetahui dan mempedulikan kita.