Isteri saya memasak daging panggang yang sangat sedap sebagai sajian makan malam. Dia memasukkan daging, hirisan ubi kentang manis, daun saderi, cendawan, lobak merah, dan bawang besar ke dalam periuk. Selepas enam atau tujuh jam kemudian, aroma makanan ini boleh terhidu di seluruh rumah, dan rasanya memang lazat. Memang berbaloi untuk menunggu sehingga kesemua bahan dalam periuk itu masak sebati untuk mendapatkan sesuatu hasil yang memuaskan, yang tidak akan kami dapat jika setiap bahan dimasak berasingan.
Apabila Paulus menggunakan frasa “turut bekerja” dalam konteks penderitaan, dia menggunakan perkataan yang membawa makna usaha bersama. Dia menuliskan “Kita tahu sekarang bahwa Allah turut bekerja dalam segala sesuatu untuk mendatangkan kebaikan bagi mereka yang mengasihi Dia, yaitu bagi mereka yang terpanggil sesuai dengan rencana Allah” (Roma 8:28, Alkitab TB). Dia menghendaki orang percaya di Roma mengetahui bahawa Tuhan tidak mahu mereka menderita, malah Dia akan menjadikan semua kesusahan mereka selari dengan pekerjaan rancangan keilahian-Nya—untuk kebaikan mereka. “Kebaikan” yang dimaksudkan oleh Paulus bukan merujuk kepada kesihatan, kekayaan, kekaguman atau kejayaan yang sementara, tetapi menjadi “seperti Anak-Nya, Yesus Kristus” (Ayat 29).
Semoga kita menanti dengan penuh kesabaran dan keyakinan kerana Bapa syurgawi kita sedang mengambil semua penderitaan dan kesedihan kita, serta semua yang jahat untuk menjadi kemuliaan-Nya dan membawa kebaikan bagi kerohanian kita. Dia ingin menjadikan kita serupa dengan Yesus.