Pelukis Perancis, Henri Matisse merasakan karyanya pada masa tuanya adalah yang terbaik untuk menyatakan dirinya. Pada masa itu, dia cuba menggunakan satu gaya baru, iaitu mencipta gambar-gambar berskala besar yang berwarna-warni dengan kertas, dan bukannya melukis. Dia menghiasi dinding biliknya dengan gambar-gambar yang cerah. Segala ini adalah penting bagi dia kerana dia telah menghidap kanser dan hanya boleh terlantar di katil.
Jatuh sakit, kehilangan pekerjaan, atau mengalami hati yang hancur luluh merupakan contoh yang dipanggil “berada dalam lembah kesuraman”, yakni perasaan takut menyuramkan segala-galanya. Penduduk Yehuda mengalami hal-hal tersebut ketika mereka mendengar sepasukan tentera musuh semakin mendekati untuk menyerang mereka (2 Tawarikh 20:2-3). Raja mereka berdoa, “jika [kami] dihukum dengan bencana, … [kami dapat berdoa kepada-Mu dan Engkau akan mendengar serta menolong [kami].” (Ayat 9). Tuhan menjawab, “Hadapilah musuh; TUHAN akan menyertai kamu” (Ayat 17).
Apabila tentera Yehuda tiba di medan pertempuran, musuh mereka telah pun memusnahkan satu sama lain. Umat Tuhan mengambil masa tiga hari untuk mengumpulkan alat-alat, pakaian dan barang-barang berharga yang ditinggalkan. Sebelum meninggalkan tempat itu, mereka berhimpun untuk memuji Tuhan dan menamakan tempat itu sebagai “Lembah Beraka” yang bermaksud “berkat”.
Tuhan menyertai kita pada masa yang paling susah dalam hidup kita. Dia dapat membantu kita menemukan berkat ketika berada dalam kesusahan.
Tuhan adalah guru yang mengubah beban kepada berkat.