Beberapa tahun yang lalu, semasa saya dan kawan saya sedang memancing di sebuah tasik, hujan mula turun. Kami pun berlindung di bawah rimbunan pokok aspen yang bergoyangan, tetapi hujan terus turun dengan lebatnya. Jadi kami memutuskan untuk pulang dan berlari ke kereta kami. Ketika saya baru sahaja membuka pintu kereta, tiba-tiba kilat memancar dan menyambar pokok-pokok aspen itu dengan bola api yang menggugurkan daun-daunnya serta menguliti batang pokok. Kemudian suasana di situ menjadi tenang kembali.
Kami terkejut dan berasa kagum.
Fenomena kilat memancar dan guruh sabung-menyabung sering berlaku di lembah Idaho. Saya sukakannya—walaupun saya nyaris dipanah petir. Saya sukakan kuasa dari alam semula jadi. Kilatan cahaya yang menyilaukan. Bunyi kuat yang menggeletar! Hati saya terkejut dan terkagum! Bumi dan segala yang di atasnya bergegar dan bergoncang. Kemudian wujudlah ketenangan.
Saya suka akan kilat dan guruh terutamanya kerana ia melambangkan suara Tuhan (Ayub 37:4), yang bercakap dengan kuasa yang menakjubkan dan hebat melalui firman-Nya. “Suara TUHAN membuat kilat memancar … TUHAN menguatkan umat-Nya, dan memberkati mereka dengan kesejahteraan” (Mazmur 29:7, 11). Dia memberikan kekuatan agar kita belajar untuk menahan, bersabar, berbuat baik, duduk tenang, bangun dan berjalan, atau tidak melakukan apa-apa sama sekali.
Semoga kesejahteraan Tuhan menyertai anda.