Kita akan merenung dan tertanya-tanya apabila kita membaca cerita-cerita dalam Alkitab. Contohnya, ketika Musa memimpin umat Tuhan untuk masuk ke Tanah Perjanjian dan bangsa Amalek datang menyerang, bagaimana pula Musa boleh tahu untuk pergi berdiri di puncak bukit sambil memegang tongkat Tuhan? (Keluaran 17:8-15). Kita tidak diberitahukan, tetapi kita tahu bahawa apabila Musa mengangkat tangannya, bangsa Israel akan menang dalam peperangan itu, tetapi kalau tangannya diturunkan, bangsa Amalek mula menang. Ketika Musa keletihan, saudaranya Harun dan Hur menunjang tangannya sehingga bangsa Israel menang.
Kita tidak mengetahui banyak tentang Hur, tetapi dia memainkan peranan penting dalam sejarah Israel. Ini mengingatkan kita bahawa wira-wira, para penyokong dan pemberi galakan kepada para pemimpin yang kita tidak nampak sebenarnya memainkan peranan yang penting tetapi sering terlepas perhatian. Mungkin hanya para pemimpin disebut dalam buku sejarah atau dipuji di media sosial, tetapi orang yang bekerja secara diam-diam dan setia tidak terlepas perhatian Tuhan. Dia memperhatikan orang yang menjadi pengantara dalam doa harian bagi kawan-kawan dan keluarga. Dia memperhatikan wanita yang melayani di gereja yang membantu mengalihkan kerusi-kerusi setiap hari Ahad. Dia memperhatikan jiran yang menjangkau orang lain dengan memberi kata-kata galakan.
Tuhan sedang memakai kita, walaupun tugas-tugas kita itu kelihatan tidak penting. Semoga kita dapat melihat dan mengucapkan terima kasih kepada wira-wira di balik tabir yang menolong kita.