Pada hari berangkatnya anak perempuan bongsu kami dari Munich ke Barcelona, saya melawat tapak web penerbangan kegemaran saya untuk mengetahui perkembangan perjalanannya. Setelah memasukkan nombor penerbangan, skrin komputer memaparkan penerbangannya telah pun melintasi Austria dan menyusuri bahagian utara Itali. Dari sana pesawat akan melintasi Mediterranean, selatan French Riviera untuk menuju ke Sepanyol, dan tiba di tempat tujuan pada waktu yang ditetapkan. Satu-satunya perkara yang aku tidak ketahui adalah apa yang telah dihidangkan oleh atendan penerbangan untuk makan tengah hari!
Mengapakah saya mempedulikan lokasi dan keadaan anak perempuan saya? Ini kerana saya mengasihinya. Saya mempedulikan siapa dia, apa yang sedang dilakukannya, dan tempat yang dia akan pergi dalam hidup ini.
Dalam Mazmur 32, Daud merayakan kekaguman dalam pengampunan, pimpinan, dan kepedulian Tuhan kepada kita. Tidak seperti bapa manusiawi, Tuhan tahu setiap butiran kehidupan dan keperluan hati kita yang paling dalam. Janji Tuhan kepada kita ialah, “Aku akan menunjukkan jalan yang harus kauikuti. Engkau akan Kubimbing dan Kunasihati” (ayat 8).
Apa pun keadaan kita pada hari ini, kita boleh berharap kepada hadirat dan penjagaan Tuhan, kerana “orang yang berharap kepada TUHAN dilindungi oleh kasih-Nya.” (ayat 10).