Di kawasan pinggir bandar yang kami tinggal, kami selalu mengadu tentang gangguan bekalan elektrik. Gangguan itu boleh berlaku 3 kali seminggu dan berlangsung lebih daripada 24 jam, sehingga seluruh kawasan kejiranan berada dalam kegelapan. Ketidakselesaan itu sukar ditanggung terutamanya apabila kami tidak dapat menggunakan peralatan asas di rumah.
Jiran Kristian kami selalu bertanya, “Adakah kita harus bersyukur pun kepada Tuhan untuk keadaan ini? Dia merujuk kepada 1 Tesalonika 5:18: “Hendaklah kamu bersyukur dalam segala keadaan, kerana hal inilah yang dikehendaki oleh Allah daripada kamu sebagai orang yang hidup bersatu dengan Kristus Yesus.” Kita selalu menjawab, “Ya, sudah tentu kita bersyukur kepada Tuhan dalam segala keadaan.” Tetapi sikap separuh hati kami ketika mengucapkan jawapan itu bercanggah dengan rungutan kami setiap kali bekalan elektrik terputus.
Bagaimanapun, pada suatu hari, kepercayaan kami dalam hal bersyukur kepada Tuhan dalam segala keadaan mendapat pengertian baru. Semasa pulang dari tempat kerja, saya mendapati jiran kami sedang menggeletar sambil menangis, “Terima kasih Yesus kerana bekalan elektrik terputus. Jika tidak, rumah saya pasti hangus terbakar, saya serta keluarga saya pasti terkorban!”
Sebuah lori pemungut sampah telah merempuh tiang elektrik di depan rumahnya dan menyebabkan kabel voltan tinggi jatuh tepat ke atas bumbung beberapa buah rumah. Jika kuasa elektrik dibekalkan pada kabel itu, tentulah bencana yang meragut nyawa akan berlaku.
Keadaan susah yang kita hadapi menyebabkan kita sukar untuk berkata, “Terima kasih Tuhan.” Namun kita boleh bersyukur kepada Tuhan kita yang mengetahui bahawa setiap keadaan boleh menjadi peluang kita untuk mempercayai-Nya—sama ada kita mengetahui tujuan-Nya atau tidak.