“Aku melihat kamu.” Inilah kiriman seorang kawan dalam kumpulan penulis kami secara talian. Dalam kumpulan ini, kami saling menyokong dan memberikan galakan. Masa itu saya berasa tertekan dan cemas, namun saya mengalami kedamaian dan kesejahteraan kerana kata-katanya itu. Kawan itu “melihat” aku—harapan, kerisauan, pergelutan, impian—dan dia mengasihi saya.

Ketika saya mendengar galakan yang ringkas tetapi berkuasa daripada rakan itu, saya pun teringat akan Hagar, seorang hamba di rumah Abram. Setelah sekian lama penantian Sarai dan Abram untuk memiliki anak, Sarai pun mengikuti adat kebudayaan masa itu dan meminta suaminya, Abram untuk memperoleh anak melalui Hagar. Tetapi semasa Hagar mengandung, dia menghina Sarai. Maka Sarai memperlakukan Hagar dengan sangat kejam sebagai balasan, kemudian dia pun melarikan diri ke padang gurun.

Tuhan memperhatikan Hagar yang berada dalam keperitan dan kekeliruan, maka Dia memberkati Hagar dengan janji bahawa dia akan menjadi ibu kepada banyak keturunan. Selepas pertemuan dengan Tuhan, Hagar memanggil-Nya sebagai “El Roi,” yang bermaksud “Allah Yang Melihat” (Kejadian 16:13, Alkitab TB), kerana dia tahu bahawa dia bukan keseorangan atau ditinggalkan.

Seperti Hagar yang diperhatikan dan dikasihi oleh Tuhan—demikian halnya dengan kita. Kita mungkin berasa dipinggirkan atau ditolak oleh rakan-rakan ataupun keluarga, tetapi kita tahu bahawa Tuhan Bapa kita bukan hanya melihat wajah yang kita tunjukkan kepada dunia ini, tetapi juga semua perasaan dan kerisauan kita yang tersembunyi. Dia mengucapkan firman yang membawa hidup kepada kita.