Buku seorang perempuan muda berbangsa Jepun tentang mengemas barang supaya ia teratur dan tidak berselerak, telah dijual sebanyak dua juta salinan di seluruh dunia. Mesej utama daripada penulis Marie Kondo itu adalah membantu orang ramai membuang benda-benda yang tidak diperlukan di rumah dan almari mereka—benda-benda yang membebankan mereka. “Angkatlah setiap barang,” katanya, “dan tanya diri anda, ‘Adakah ini membawa sukacita?’” Jika jawapan adalah ya, maka simpanlah. Jika jawapan adalah tidak, maka buanglah.

Rasul Paulus mendorong orang Kristian di Filipi supaya mengejar sukacita dalam hubungan mereka dengan Kristus. “Semoga kamu sentiasa bersukacita kerana hidup bersatu dengan Tuhan. Sekali lagi aku berkata: bersukacitalah!” (Filipi 4:4). Daripada membebani hidup dengan kerisauan, dia menggesa mereka berdoa tentang semua hal dan membiarkan kesejahteraan Tuhan menjaga hati dan fikiran mereka dalam Kristus (ayat 6–7).

Apabila kita melihat tugasan dan tanggungjawab harian kita, bukan semuanya menyeronokkan. Tetapi kita boleh bertanya, “Bagaimanakah hal ini boleh membawa sukacita dalam hati Tuhan dan hati saya sendiri?” Perubahan dalam tujuan kita melakukan sesuatu boleh membawa transformasi dalam sikap kita menghadapi tugasan itu.

“Akhirnya, saudara-saudaraku, hendaklah kamu menumpukan fikiran hanya kepada perkara-perkara yang baik dan yang patut dipuji, iaitu perkara yang benar, yang mulia, yang adil, yang murni, yang elok dan yang terhormat” (ayat 8).

Kata-kata perpisahan Paulus adalah santapan fikiran dan resipi untuk bersukacita.