Pada Jun 1962, Clarence Earl Gideon yang berada di penjara menulis surat kepada Mahkamah Agung Amerika Syarikat untuk meminta mereka menyemak semula sabitan dan hukuman atas jenayah yang tidak dilakukannya. Dia juga mengatakan bahawa dia tidak mampu untuk mengupah peguam.

Setahun kemudian, dalam kes bersejarah Gideon lwn Wainright, Mahkamah Agung mengeluarkan perintah bahawa sesiapa yang tidak mampu mengupah peguam bela bagi diri sendiri haruslah diberikan seorang peguam bela awam—seorang pembela—yang disediakan oleh kerajaan. Dengan keputusan ini dan pertolongan daripada peguam yang ditetapkan oleh mahkamah, kes Clarence Gideon pun dibicarakan semula dan kemudiannya dibebaskan.

Tetapi bagaimana pula kalau kita sememangnya bersalah? Menurut rasul Paulus, kita semua bersalah. Tetapi mahkamah syurgawi telah menyediakan seorang Pembela, yang diutus oleh Tuhan, yang menawarkan diri untuk membela serta mengambil berat terhadap jiwa kita (1 Yohanes 2:2). Bagi pihak Bapa-Nya, Yesus datang kepada kita untuk menawarkan kebebasan. Para banduan sendiri pun berkata bahawa kebebasan ini jauh lebih baik daripada apa yang dialami mereka di luar penjara. Inilah kebebasan dari segi jiwa dan fikiran.

Sama ada kita menderita kerana kesalahan sendiri ataupun dipersalahkan orang lain, kita semua boleh dibela oleh Yesus. Dia yang berkuasa tertinggi menjawab setiap permintaan belas kasihan, pengampunan dan penghiburan.

Yesus, Pembela kita, boleh menukarkan penjara yang tiada pengharapan, penuh ketakutan, atau penyesalan kepada tempat yang dipenuhi hadirat-Nya.