Kita mengenali dia sebagai Tomas yang Ragu-Ragu (lihat Yohanes 20:24–29), tetapi gelaran itu tidak begitu adil bagi dia. Sesungguhnya, berapa di kalangan kita percaya bahawa Yesus yang telah dihukum mati sudah bangkit semula? Kita sepatutnya menggelar dia sebagai “Tomas yang Berani.” Ini kerana Tomas menunjukkan keberanian yang mengagumkan sewaktu Yesus bertekad menghadapi kematian-Nya.
Ketika Lazarus meninggal, Yesus berkata, “Marilah kita balik ke Yudea” (Yohanes 11:7), dan hal itu mendapat bantahan daripada pengikut-pengikut-Nya. “Guru,” kata mereka, “baru sahaja orang Yahudi di situ hendak merejam Guru, dan sekarang Guru mahu balik lagi ke sana?” (ayat 8). Namun Tomas yang berkata, “Marilah kita pergi dengan Guru, supaya kita mati bersama-sama-Nya!” (ayat 16).
Niat hati Tomas terbukti lebih mulia berbanding dengan tindakannya. Ketika Yesus ditangkap, Tomas melarikan diri bersama dengan yang lain (Matius 26:56), meninggalkan Petrus dan Yohanes yang masih mengekori Yesus sehingga ke halaman rumah Imam Agung. Hanya Yohanes yang mengikut sepanjang perjalanan menuju ke tempat penyaliban Yesus.
Meskipun Tomas telah menyaksikan kebangkitan Lazarus (Yohanes 11:38–44), dia tetap tidak percaya bahawa Tuhan yang sudah disalibkan itu telah mengalahkan maut. Insan yang ragu-ragu, iaitu Tomas, tidak dapat berseru, “Ya Tuhanku! Ya Allahku!” (Yohanes 20:28) sehingga dia melihat Tuhan bangkit semula. Respons Yesus memberikan kepastian kepada orang yang ragu-ragu, dan memberi kelegaan sepenuhnya kepada kita: “Adakah kamu percaya kerana kamu sudah melihat Aku? Berbahagialah orang yang percaya meskipun tidak melihat Aku!” (ayat 29).
ketidakpercayaan senang dalam kegelapan.