Noah Purifoy telah memulakan kerjanya sebagai seorang artis “penghimpun” dengan tiga tan reruntuhan yang dikumpulkan akibat rusuhan pada tahun 1965 di kawasan Watts, Los Angeles. Barang-barang itu termasuklah roda-roda basikal yang rosak, bola-bola bowling, tayar buangan serta set-set TV yang remuk—barang-barang yang tidak berguna lagi—dia dan seorang rakan sekerjanya mencipta arca tentang orang yang diperlakukan sebagai “buangan” dalam masyarakat moden. Seorang wartawan menggelar Purifoy sebagai “Pemungut Sampah Yang Terpintar.”

Pada zaman Yesus, masyarakat menganggap orang yang berpenyakit dan mempunyai kecacatan badan sebagai orang berdosa yang dihukum oleh Tuhan. Mereka dipulaukan dan tidak dipedulikan. Tetapi ketika Yesus dan para pengikut-Nya berjumpa dengan seorang yang buta sejak lahir, Tuhan berkata bahawa keadaan orang itu bukan disebabkan oleh dosa, tetapi supaya kuasa Tuhan boleh dinyatakan. “Selama Aku di dunia ini, Akulah cahaya bagi dunia” (Yohanes 9:5). Apabila orang buta itu menuruti arahan Yesus, akhirnya dia dapat melihat.

Ketika pihak berkuasa agama menanyakan orang itu, dia hanya menjawab, “Tetapi satu perkara saya tahu; dahulu saya buta, sekarang saya dapat melihat” (ayat 25).

Yesus masih “Pemungut Sampah” yang terhebat di dunia ini. Kita semua sudah dirosakkan oleh dosa, tetapi Dia mengambil hidup kita yang hancur dan membentukkan kita menjadi ciptaan-Nya yang baru.