Sebuah pusat pelayanan di Rwanda yang bernama “Rumah Api” melambangkan penebusan. Ia terletak di sebuah tempat yang berlakunya pembunuhan kaum pada tahun 1994. Pada ketika itu, presiden negara tersebut memiliki sebuah rumah yang tersergam indah di kawasan tersebut. Bagaimanapun, bangunan baru sekarang ini telah didirikan oleh orang Kristian sebagai tanda sinaran dan harapan. Sebuah institusi Alkitab di dalam bangunan itu telah melahirkan generasi pemimpin Kristian baru, berserta dengan sebuah hotel, restoran, dan perkhidmatan-perkhidmatan lain bagi masyarakat. Harapan baru telah lahir daripada pemusnahan. Orang yang membina Rumah Api itu menyanjung Yesus sebagai sumber pengharapan dan penebusan mereka.

Ketika Yesus pergi ke rumah ibadat di Nasaret pada hari Sabat, Dia membaca kitab Yesaya dan mengumumkan bahawa Dialah yang telah dilantik untuk mengkhabarkan Berita Baik (lihat Lukas 4:14–21). Dialah yang datang untuk menyembuhkan orang yang patah hati dan menawarkan penebusan serta pengampunan. Melalui Yesus, kita melihat keindahan muncul dari kota-kota yang telah lama runtuh. (Yesaya 61:3).

Kekejaman pembunuhan kaum di Rwanda dapat diperlihatkan menerusi permusuhan antara kaum yang mengakibatkan kehilangan lebih daripada 500 ribu nyawa. Ia adalah suatu peristiwa yang sukar dibayangkan dan mengganggu jiwa. Kita hampir tidak tahu apa yang harus diperkatakan tentang mereka. Tetapi kita tahu bahawa Tuhan boleh menebus segala-galanya—sama ada di bumi ini mahupun di syurga. Dia yang memberi sukacita dan bukannya ratapan memberikan kita pengharapan, sungguhpun di tengah-tengah situasi yang paling gelap.