Di pesta orang Mexico, mereka mesti menyediakan piñata—satu karton atau bekas tanah liat yang dipenuhi gula-gula dan hadiah kecil. Kanak-kanak berusaha untuk memecahkan dan memukulnya dengan sebatang kayu supaya dapat menikmati kandungannya.
Rahib menggunakan piñata pada kurun ke-16 untuk mengajar orang peribumi Mexico. Piñata asal yang berbentuk bintang mempunyai tujuh penjuru dan melambangkan tujuh dosa yang membawa maut. Orang yang memukul piñata menunjukkan perjuangan mereka untuk menentang kuasa jahat. Ketika hadiah jatuh ke tanah, orang boleh membawa hadiah tersebut pulang ke rumah sebagai peringatan akan ganjaran bagi iman teguh mereka.
Tetapi kita tidak mampu melawan kuasa jahat dengan diri sendiri. Tuhan tidak menantikan kita melakukan sesuatu supaya Dia boleh menunjukkan belas kasihan-Nya. Kitab Efesus mengajar bahawa “dengan rahmat Allah, kamu diselamatkan oleh sebab kamu percaya kepada Yesus. … melainkan kurnia Allah” (2:8). Bukan kita yang telah mengalahkan dosa, tetapi Kristus yang telah melakukannya.
Kanak-kanak berjuang untuk mendapatkan gula-gula itu daripada piñata, tetapi hadiah daripada Tuhan diberikan kepada kita semua ketika kita percaya kepada Yesus. Tuhan “sudah memberkati kita dengan segala berkat rohani dari syurga” (1:3). Kita mendapat pengampunan dosa, penebusan, diangkat sebagai anak, hidup baru, sukacita, kasih, dan banyak lagi. Kita tidak mendapat berkat rohani itu kerana kita telah mempertahankan iman ataupun kerana kita kuat; kita mendapat berkat rohani tersebut kerana kita percaya kepada Yesus. Berkat-berkat rohani diterima hanya melalui anugerah—anugerah yang kita tidak layak menerima!