Dalam sebuah artikel surat khabar Washington Post yang bertajuk “Projek Terbaru Pakar Teknologi Yang Berwibawa: Menentang Kematian,” penulis Ariana Cha melaporkan usaha Peter Thiele dan pakar-pakar teknologi lain yang berpengaruh untuk memanjangkan hayat manusia sehingga kekal. Mereka bersedia untuk memperuntukkan berbilion-bilion dolar Amerika Syarikat untuk projek tersebut.

Mereka sebenarnya sudah terlambat. Kematian sudah dikalahkan! Yesus berkata, “Akulah yang membangkitkan orang mati dan yang memberikan hidup. Sesiapa yang percaya kepada-Ku akan hidup, meskipun dia sudah mati. Orang yang hidup dan percaya kepada-Ku, tidak akan mati selama-lamanya” (Yohanes 11:25–26). Yesus meyakinkan kita bahawa orang yang meletakkan kepercayaan mereka kepada-Nya tidak akan mati walau apa pun keadaan.

Sudah tentunya, tubuh kita akan mati—dan tidak ada yang dapat dilakukan untuk mengubah kenyataan itu. Tetapi akal fikiran, pertimbangan, ingatan, kasih sayang dan pengembaraan hidup dalam diri kita sudah pasti tidak akan mati.

Bahagian yang paling indah adalah: Penyelamatan adalah satu hadiah! Anda hanya perlu menerima penyelamatan yang ditawarkan oleh Yesus. Itu sahaja.

Ada orang berkata, “Tidak mungkin begitu mudah.” Lalu saya menjawab, jika Tuhan mengasihi anda sebelum anda lahir dan mahu anda hidup dengan-Nya selama-lamanya, mustahil Dia ingin menyusahkan anda untuk menerima tawaran penyelamatan ini.