Kami seramai tujuh orang menghadiri satu persembahan musikal di taman hiburan yang penuh sesak. Kerana mahu duduk bersama, kami mencuba untuk duduk berhimpit-himpit dalam satu barisan. Tetapi sementara kami melakukannya, seorang perempuan dengan cepat duduk di antara kami. Isteri saya memberitahu dia bahawa kami mahu duduk bersama tetapi perempuan tersebut dengan cepat menjawab, “sayangnya,” kemudian dengan paksa dia dan rakannya terus duduk di barisan tersebut.

Sementara tiga orang daripada kami duduk dalam satu barisan di belakang empat orang rakan kami, isteri saya, Sue, memerhatikan bahawa perempuan tersebut telah menemani seorang dewasa yang memerlukan penjagaan khas. Dia berusaha untuk duduk bersama dengan kumpulannya supaya dia boleh menjaga kawannya. Tiba-tiba perasaan tidak senang dalam hati kami hilang. Sue berkata, “Bayangkan betapa susahnya dia berada di tempat yang penuh sesak seperti ini.” Ya, memang perempuan itu menjawab kami dengan kasar. Tetapi kami boleh bertindak balas dengan belas kasihan dan bukan marah.

Ke mana pun kita pergi, kita akan menghadapi orang yang memerlukan belas kasihan. Kata-kata rasul Paulus ini boleh menolong kita melihat setiap orang di sekeliling kita dengan sudut pandangan yang berbeza—sebagai orang yang memerlukan sentuhan lembut daripada rahmat Tuhan. “Kamu umat Allah. Allah mengasihi kamu dan memilih kamu supaya menjadi milik-Nya sendiri. Oleh itu, kamu harus berbelas kasihan, baik hati, rendah hati, lemah lembut, dan bersabar” (Kolose 3:12). Dia juga mencadangkan supaya kita, “saling bersabar dan saling mengampuni” (ayat 13).

Apabila kita menunjukkan belas kasihan, kita akan membawa orang lain kepada Tuhan yang mencurahkan hati-Nya yang penuh rahmat dan belas kasihan kepada kita.