Dawson Trotman, seorang pemimpin Kristian yang dinamik pada pertengahan abad ke-20 dan pengasas organisasi Kristian “The Navigators” menekankan kepentingan Alkitab dalam kehidupan setiap Kristian. Setiap hari Trotman mengakhiri harinya dengan mengamalkan apa yang dipanggilnya, “Firman-Nya Perkataan Terakhir.” Sebelum tidur, dia akan merenungkan dan menghafal ayat atau petikan Alkitab, kemudian berdoa untuk peranan dan pengaruh firman tersebut dalam hidupnya. Dia mahu supaya firman Tuhan adalah perkataan terakhir yang difikirkannya setiap hari.

Pemazmur Daud menulis, “Waktu aku berbaring di katil, aku ingat akan Engkau; sepanjang malam aku merenungkan Engkau, kerana Engkau sentiasa menolong aku; aku menyanyi dengan riang di bawah naungan sayap-Mu” (Mazmur 63:7-8). Sama ada kita sedang mengalami kesukaran yang besar atau menikmati ketenangan, perkataan terakhir yang kita fikirkan pada waktu malam akan melegakan fikiran kita dengan ketenangan dan penghiburan yang diberikan oleh Tuhan. Ia juga mungkin akan menetapkan nada fikiran pertama kita keesokan harinya.

Seorang kawan dan isterinya mengakhiri setiap hari dengan membaca secara kuat petikan Alkitab dan mengadakan saat teduh harian dengan empat orang anak mereka. Mereka mengalu-alukan pertanyaan dan pemikiran daripada setiap anak dan membincangkan apa itu maksud mengikut Yesus di rumah dan di sekolah. Mereka menyebut ini merupakan versi “Firman-Nya Perkataan Terakhir” mereka untuk setiap hari.

Betapa baiknya untuk mengakhiri hari kita dengan firman Tuhan!