Tidak lama sebelum Yesus disalib, seorang perempuan yang bernama Maria menuangkan sebotol minyak wangi yang mahal pada kaki-Nya. Kemudian, dia bertindak lebih berani lagi, iaitu dia menyapu kaki Yesus dengan rambutnya (Yohanes 12:3). Maria bukan sahaja mengorbankan sesuatu yang mungkin merupakan simpanannya, tetapi dia juga mengorbankan reputasinya. Dalam budaya Timur Tengah pada abad yang pertama, perempuan yang mempunyai reputasi baik tidak akan menghuraikan rambut di muka umum. Tetapi penyembahan yang benar bukanlah berkenaan dengan fikiran orang lain terhadap kita (2 Samuel 6:21–22). Untuk menyembah Yesus, Maria sanggup dianggap sebagai perempuan yang tidak sopan, malah mungkin tidak bermoral.

Sesetengah orang mungkin berasa tertekan untuk menjadi sempurna ketika pergi ke gereja supaya orang lain boleh beranggapan baik terhadap kita. Secara kiasan, kita berusaha memastikan semuanya baik. Tetapi gereja yang sihat merupakan sebuah tempat yang kita boleh menghuraikan rambut dan tidak perlu menyembunyikan kekurangan di sebalik topeng kesempurnaan. Di gereja, kita patut mampu mendedahkan kelemahan kita untuk mencari kekuatan, bukannya merahsiakan kesilapan kita untuk kelihatan kuat.

Penyembahan sejati tidak menunjukkan tingkah laku yang seolah-olah sempurna; ia memastikan semuanya berada dalam keadaan baik—mengekalkan hubungan yang baik dengan Tuhan dan orang lain. Apabila ketakutan terbesar kita adalah mendedahkan kelemahan kita, mungkin dosa terbesar kita adalah terus menyembunyikannya.