Adakah kesakitan lebih mudah ditanggung jika kita ditemani seorang kawan? Para pengkaji di Universiti Virginia menjalankan kajian yang menarik untuk menjawab soalan itu. Mereka mahu melihat bagaimana otak bertindak balas terhadap keadaan kesakitan yang berlainan, dan sama ada ia bertindak secara berbeza jika seseorang menghadapi kesakitan seorang diri, memegang tangan orang yang tidak dikenali, ataupun memegang tangan kawan rapatnya.

Para pengkaji menjalankan ujian tersebut ke atas sejumlah orang dan menemukan keputusan yang konsisten. Apabila seseorang yang hanya bersendirian ataupun sedang memegang tangan orang yang tidak dikenali semasa melalui kejutan elektrik, bahagian otak yang mengesan bahaya akan bernyala dalam skrin. Tetapi ketika memegang tangan seseorang yang dipercayai, otak berada dalam keadaan yang lebih tenang. Penghiburan yang dihasilkan oleh kehadiran seorang rakan menjadikan kesakitan itu lebih dapat ditanggung.

Yesus memerlukan penghiburan sewaktu Dia berdoa di Taman Getsemani. Dia tahu apa yang bakal dihadapi-Nya: pengkhianatan, penangkapan dan kematian. Dia meminta rakan-rakan rapat-Nya untuk berjaga dan berdoa dengan-Nya, memberitahu mereka bahawa hati-Nya “sedih sekali” (Matius 26:38). Namun Petrus, Yakobus dan Yohanes tertidur.

Yesus menghadapi penderitaan di taman tersebut tanpa mengalami penghiburan daripada pegangan tangan. Tetapi oleh sebab Dia menanggung kesakitan itu, kita yakin bahawa Tuhan tidak akan membiarkan atau meninggalkan kita (Ibrani 13:5). Yesus menderita supaya kita tidak perlu mengalami perpisahan dengan kasih Tuhan (Roma 8:39). Hadirat Tuhan memampukan kita bertahan dalam menghadapi apa jua keadaan.