Matahari terbenam. Biasanya orang akan berhenti melakukan apa yang sedang dilakukan untuk melihat matahari terbenam … menangkap gambar … menikmati pemandangan yang indah.
Saya dan isteri sempat menikmati saat matahari terbenam di Teluk Mexico baru-baru ini. Sekumpulan orang mengelilingi kami, kebanyakannya terdiri daripada orang asing yang berkumpul di pantai untuk menikmati fenomena saban hari ini. Pada saat matahari terbenam sepenuhnya di bawah ufuk, orang ramai mulai bertepuk tangan.
Mengapakah orang memberikan respons sedemikian? Kitab Mazmur memberikan petunjuk untuk hal itu. Pemazmur menulis bahawa Tuhan memerintah matahari untuk memuji Penciptanya (Mazmur 148:3). Setiap kali sinaran matahari menerangi seluruh bumi, manusia tergerak untuk memberi pujian bersama.
Tiada banyak perkara yang dapat menyentuh jiwa kita seperti keindahan alam. Ia bukan sahaja mampu menghentikan apa yang kita sedang lakukan serta menarik perhatian kita, malah berkuasa untuk mengalihkan fokus kita kepada Pencipta keindahan itu sendiri.
Keajaiban ciptaan Tuhan yang menakjubkan menjadikan kita berhenti sejenak dan mengingati apa yang penting sebenarnya. Pada dasarnya, kita terpegun akan matahari terbit dan terbenam setiap hari kerana ia mengingatkan kita akan kewujudan Pencipta. Dia yang sangat mengasihi dunia ciptaan-Nya juga datang ke dunia ini sebagai manusia untuk membawa penebusan dan pemulihan.