Bob Foster merupakan mentor dan rakan saya selama lebih daripada 50 tahun. Dia tidak pernah berputus asa terhadap saya. Persahabatan serta galakan daripadanya tidak pernah berubah meskipun pada saat saya melalui masa yang paling kelam, dia tetap menolong saya.

Kita selalu bersemangat untuk mencari serta menolong seseorang kawan yang sangat memerlukan pertolongan. Tetapi apabila kita tidak melihat sebarang perubahan pada ketika itu, keazaman kita boleh sahaja menjadi goyah dan akhirnya kita berasa putus asa. Kita mungkin mengharapkan satu perubahan segera, namun ia masih satu proses yang sedang berjalan.

Rasul Paulus mendorong kita untuk sabar ketika memberi bantuan antara satu sama lain melalui perjuangan hidup ini. Ketika dia menulis, “Hendaklah kamu saling menolong memikul beban” dan “dengan cara demikian kamu akan mentaati perintah Kristus” (Galatia 6:2), dia membandingkan tugas kita dengan kerja, masa, dan penantian seorang petani untuk melihat hasil tuaian.

Berapa lama harus kita terus berdoa dan berbuat baik terhadap orang yang kita kasihi? “Janganlah kita jemu melakukan perkara-perkara baik. Jika kita tidak berhenti-henti berbuat demikian, kelak kita akan menuai hasilnya.” (ayat 9). Berapakah jumlah masa yang kita perlukan untuk berbuat baik? “Selama kita berpeluang, kita patut berbuat baik kepada semua orang, terutama sekali kepada saudara-saudara kita yang seiman” (ayat 10).

Tuhan mendorong kita untuk percaya kepada-Nya pada hari ini, tetap setia kepada orang lain, tetap berdoa dan tidak putus asa!