Saya berdiri di depan jemaah kecil yang terdiri daripada orang Jamaica dan menyampaikan salam, “Wah Gwan, Jamaica?” Saya mengucapkan kata-kata dalam bahasa dialek tempatan mereka dengan sebaik mungkin. Reaksi yang saya terima adalah lebih baik daripada yang saya jangkakan, disertakan senyuman dan tepukan sebagai tanda sambutan daripada mereka.

Sebenarnya, apa yang saya ucapkan itu cumalah sapaan biasa, “Apakah yang sedang berlaku?” dalam Patois [disebut pa-twa], tetapi apa yang dihayati oleh mereka adalah, “Saya sangat prihatin terhadap anda, maka saya bercakap dalam bahasa anda.” Sudah tentu saya belum benar-benar fasih untuk berbicara dalam bahasa Patois, tetapi ini telah merapatkan hubungan saya dengan mereka.

Ketika rasul Paulus berdiri di hadapan orang Atena, dia telah menunjukkan bahawa dia tahu akan budaya mereka. Dia memberitahu mereka bahawa dia tahu akan sebuah mazbah mereka yang bertuliskan “Kepada Allah Yang Tidak Dikenal,” dia juga menyebut salah satu daripada syair mereka. Sudah tentu bahawa bukan semua orang percaya kepada perkhabaran Paulus tentang Yesus yang telah bangkit daripada kematian, tetapi ada beberapa orang berkata, “Kami ingin mendengar saudara bercakap tentang hal ini lagi” (Kisah Rasul-Rasul 17:32).

Ketika kita berinteraksi dengan orang lain tentang Yesus dan penyelamatan yang ditawarkan-Nya, pengajaran daripada firman Tuhan menggerakkan kita untuk melakukan sesuatu bagi orang lain—mempelajari bahasa mereka—sebagai satu cara untuk memberitakan khabar baik kepada mereka (lihat juga 1 Korintus 9:20–23).

Ketika kita boleh berkomunikasi dengan bahasa orang yang kita jangkaui, lebih mudah bagi kita untuk berkongsi pekerjaan Tuhan dalam kehidupan kita kepada mereka.