Semasa sekumpulan pemuda dan pemudi melawat sebuah rumah orang tua di Montego Bay, Jamaica, seorang pemudi mendapati bahawa ada seorang lelaki kesepian di hujung bilik. Dia tidak memiliki apa-apa selain sebuah katil untuk tidur—sebuah katil yang dia tidak dapat menggerakkan disebabkan kecacatannya.
Dengan segera pemudi itu mula berkongsi kisah tentang kasih Tuhan untuk setiap manusia dan membaca beberapa petikan Alkitab kepadanya. “Ketika saya berkongsi dengannya,” pemudi itu berkata kemudian, “Saya mula merasakan keinginannya untuk mendengar lebih lanjut.” Memandangkan responsnya yang penuh perhatian, dia terus menjelaskan keajaiban pengorbanan Yesus untuk kita. Dia mengingat kembali, “memang sukar bagi lelaki ini yang tidak mempunyai harapan dan tiada keluarga, untuk memahami Seorang yang tidak pernah ditemui akan mengasihi dia sehingga mati di kayu salib demi dosanya.”
Pemudi itu memberitahu orang itu lebih lanjut mengenai Yesus—dan janji tentang syurga (termasuk tubuh baharu) untuk semua yang percaya. Dia bertanya, “Adakah anda akan menari dengan saya di syurga?” Lelaki tersebut telah mula membayangkan dirinya bebas daripada tubuhnya yang lusuh dan lumpuh.
Apabila dia berkata mahu mempercayai Yesus sebagai Penyelamat, pemudi ini memimpin lelaki itu berdoa untuk meminta pengampunan Tuhan dan memberi dia iman. Apabila pemudi itu bertanya jika dia boleh mengambil gambar dengannya, dia menjawab, “Bantulah saya duduk tegak, kini saya seorang yang baharu.”
Puji Tuhan kerana Injil Yesus yang mengubah hidup serta memberikan harapan adalah tersedia untuk semua! Yesus menawarkan kehidupan baharu untuk semua yang percaya kepada-Nya (Kolose 1:5,23).