Brother Lawrence, seorang rahib pada abad ke-17 selalu berdoa sebelum dia memulakan pekerjaan sehariannya sebagai tukang masak dalam komunitinya: “Ya Tuhan … berikanlah aku rahmat untuk tinggal dalam hadirat-Mu. Tolonglah aku dalam pekerjaanku. Bantulah aku mengasihi-Mu sepenuhnya.” Ketika bekerja, dia terus bercakap dengan Tuhan, mendengar pimpinan-Nya dan mendedikasikan kerjanya kepada Tuhan. Walaupun pada masa yang amat sibuk, dia akan menggunakan sedikit masa rehat untuk bertenang serta meminta rahmat-Nya. Walau apa pun yang berlaku, dia berusaha untuk mencari dan mengalami kasih Penciptanya.
Seperti yang tertulis dalam Mazmur 89, Tuhan adalah Pencipta yang mencipta segala sesuatu, memerintah lautan dan disembah oleh para malaikat, maka respons kita yang paling sesuai adalah menyerahkan kehidupan kita—seluruh hidup kita kepada-Nya. Apabila kita memahami betapa indahnya Tuhan kita, kita pasti akan “mengenal bunyi bahagia itu”—di mana pun kita berada, “sepanjang hari” (ayat 15-16).
Sama ada kita berdiri di pasar raya atau berbaris di lapangan terbang, atau menunggu minit demi minit untuk panggilan telefon, kehidupan kita penuh dengan detik-detik seperti ini, iaitu masa yang ada kalanya menjengkelkan. Atau ini boleh menjadi masa bagi kita untuk menarik nafas dan berhenti sejenak, serta menganggap masa tersebut sebagai satu peluang untuk belajar “melangkah Ya TUHAN, dalam cahaya wajah-Mu” (ayat 15).
Detik yang “sia-sia” dalam kehidupan kita, ketika kita menunggu, terbaring sakit atau tertanya-tanya apa yang perlu dilakukan seterusnya; semuanya kemungkinan merupakan masa untuk kita berhenti sejenak agar dapat mempertimbangkan kehidupan kita, dalam terang kehadiran-Nya.