Lebih kurang ada 230 keluarga dan individu tinggal di Blok 72, Taman MacPherson di kawasan kejiranan saya. Setiap orang mempunyai kisah hidup masing-masing. Di tingkat sepuluh, ada seorang perempuan tua tinggal seorang diri kerana anak-anaknya sudah besar, berkahwin, kemudian mereka berpindah ke tempat lain. Tidak jauh dari rumahnya, sepasang suami isteri muda dan seorang anak lelaki dan anak perempuan mereka tinggal di situ. Beberapa tingkat di bawah pula tinggal seorang lelaki muda yang bertugas dalam ketenteraan. Dia pernah pergi ke gereja sebelum ini, dan mungkin akan pergi ke gereja lagi sewaktu perayaan hari Krismas nanti. Saya bertemu dengan semua orang ini pada hari Krismas yang lepas, ketika gereja kami mengadakan karol Krismas di kawasan kejiranan tersebut untuk mengkhabarkan sukacita pada musim Krismas.
Setiap hari Krismas—seperti Krismas yang pertama—ramai orang tidak tahu bahawa Tuhan telah memasuki dunia kita sebagai seorang bayi yang bernama Yesus (Lukas 1:68; 2:21). Ataupun mereka tidak tahu kepentingan peristiwa tersebut—ia adalah “berita baik yang akan memberikan sukacita besar kepada seluruh umat” (2:10). Ya, semua manusia! Tanpa mengira bangsa, budaya, jantina atau status kewangan kita, Yesus telah datang untuk mati bagi kita dan menawarkan pengampunan yang sempurna. Dengan ini, kita boleh berdamai dengan-Nya dan menikmati kasih, sukacita, damai-sejahtera dan harapan-Nya. Semua orang, bermula daripada wanita yang tinggal di sebelah rumah sehinggalah rakan-rakan sekerja yang pernah makan tengah hari dengan kita, mereka perlu mendengar berita yang gembira ini!
Pada hari Krismas yang pertama, para malaikat merupakan pembawa berita yang menggembirakan ini. Pada hari ini, Tuhan mahu bekerja melalui kita untuk membawa kisah ini kepada orang lain.