Beberapa tahun yang lepas, seorang rakan perempuan saya telah terpisah dengan anak lelakinya yang masih kecil ketika berjalan di tengah kerumunan orang ramai di Stesen Union, Chicago. Ini merupakan satu pengalaman yang amat menggentarkan. Dia mula menjerit tidak keruan sambil memanggil nama anaknya dan berlari kembali ke eskalator, supaya boleh menjumpai semula anak kecilnya. Perpisahan yang hanya berlangsung selama beberapa minit itu rasanya bagaikan sudah berjam-jam lamanya, sehingga akhirnya, dengan tiba-tiba anaknya muncul dalam kerumunan orang ramai dan berlari ke dalam dakapan ibunya dengan selamat. Syukurlah!
Ketika memikirkan rakan saya yang telah melakukan segala dengan sedaya upaya untuk menemukan anak lelakinya, perasaan syukur saya terhadap karya Tuhan yang menakjubkan demi menyelamatkan kita telah diperbaharui. Sejak pertama kali pembawa gambaran Tuhan yang pertama—Adam dan Hawa—menyimpang ke dalam dosa, Dia meratapi kehilangan persekutuan-Nya dengan umat-Nya. Dia dengan sedaya upaya mahu memulihkan perhubungan itu dengan menghantar Anak-Nya yang tunggal “untuk mencari dan menyelamatkan orang yang hilang” (Lukas 19:10). Jika tanpa kelahiran Yesus, dan jika tanpa kerelaan-Nya untuk mati bagi menanggung akibat dosa kita serta membawa kita kepada Tuhan, kita tidak mungkin memiliki apa-apa sebab untuk merayakan hari Krismas.
Jadi sempena hari Krismas ini, marilah kita bersyukur kerana Tuhan telah mengambil tindakan yang luar biasa dengan menghantar Yesus agar persekutuan kita dengan Dia dapat dipulihkan semula. Walaupun pada suatu ketika dahulu kita telah hilang, namun disebabkan oleh Yesus, kita sudah ditemukan!