Seminggu sebelum hari Krismas, iaitu dua bulan selepas kepergian ibu saya, rancangan untuk membeli-belah dan menghiasi rumah telah diketepikan pada kedudukan yang paling bawah dalam senarai aktiviti yang perlu saya lakukan. Saya menolak usaha suami saya untuk menghiburkan saya sementara saya meratapi kehilangan ibu yang merupakan pemimpin keluarga kami yang penuh iman. Saya merajuk apabila anak lelaki kami Xavier, memasang lampu Krismas pada dinding rumah kami. Tanpa sepatah kata, mereka menyalakan lampu itu dan kemudiannya bertolak ke tempat kerja.

Ketika mentol lampu yang berwarna-warni itu bernyala, Tuhan dengan lembut menarik saya keluar daripada kegelapan yang menyelubungi saya. Tidak kira betapa sakitnya keadaan yang dilalui, harapan saya kekal selamat dalam cahaya kebenaran Tuhan, yang sentiasa memancarkan sifat-Nya yang tidak berubah.

Mazmur 146 menujukan peringatan Tuhan kepada saya pada pagi yang sukar itu: Harapan kekal saya ada pada Tuhan, Dia ialah penolong dan Tuhan saya yang berkuasa dan penuh kasih (ayat 5). Sebagai Pencipta segala sesuatu, Dia “tetap setia selama-lamanya” (ayat 6). Dia “menjalankan keadilan bagi mereka yang ditindas,” melindungi dan menyediakan keperluan bagi kita (ayat 7). “TUHAN menegakkan mereka yang tersungkur” (ayat 8). Dia “menaungi” kita, “membantu” kita, dan akan menjadi Raja kita selama-lamanya (ayat 9-10).

Kadang-kadang apabila hari Krismas semakin menjelang, hati kita dipenuhi dengan saat-saat yang menggembirakan. Kadang-kadang kita akan menghadapi kehilangan, mengalami kesakitan atau berasa kesunyian. Namun sepanjang masa, Tuhan berjanji untuk menjadi cahaya kita dalam kegelapan, menawarkan pertolongan yang nyata dan harapan yang kekal bagi kita.