Pada hujung Perjanjian Lama, Tuhan seakan-akan menyembunyikan diri. Selama empat abad, orang Yahudi berada dalam keadaan yang penuh penantian dan pertanyaan. Tuhan seakan-akan bersikap pasif, tidak peduli, serta tuli terhadap doa-doa mereka. Satu harapan sahaja yang tertinggal: janji sejak zaman kuno tentang kedatangan seorang Mesias. Maka orang Yahudi menaruhkan segala harapan mereka pada janji itu. Kemudian satu perkara penting telah berlaku. Kelahiran seorang bayi telah diumumkan.
Anda boleh merasakan kegirangan mereka hanya dengan membaca reaksi mereka dalam kitab Lukas. Peristiwa-peristiwa di sekitar hari kelahiran Yesus seolah-olah telah membentuk sebuah muzikal yang penuh dengan sukacita. Watak-watak yang anda boleh baca dalam babak ini: seorang bapa saudara yang sudah beruban (Lukas 1:5-25), seorang perawan yang kehairanan (1:26-38), nabi Hana yang tua (2:36). Maria sendiri mengungkapkan nyanyian pujian yang indah (1:46-55). Malah sepupu Yesus yang belum lahir pun bergerak-gerak dengan kesukaan dalam rahim ibunya (1:41).
Lukas secara khusus menghubungkaitkan kejadian-kejadian tersebut dengan janji-janji dalam Perjanjian Lama akan seorang Mesias. Malaikat Gabriel juga menamakan Yohanes Pembaptis sebagai seorang “Elia” yang dihantar untuk mempersiapkan jalan bagi Tuhan (1:17). Secara jelas, sesuatu kejadian yang besar sedang terbentuk di planet bumi. Di kalangan penduduk kampung yang muram dan kecewa pada zaman pemerintahan Empayar Roma, sesuatu yang baik sedang terjadi.