Suatu tahun pada hari Krismas, saya harus menjalankan tugas di sebuah tempat yang tidak diketahui oleh kebanyakan rakan saya menurut peta. Suatu hari saya menapak dengan susah payah untuk balik ke bilik saya dari tempat kerja, sambil melangkah berat di tengah-tengah tiupan angin sejuk dari Laut Hitam yang suram. Masa itu saya sangat rindu untuk pulang ke rumah.

Ketika sampai di bilik, saya membuka pintu dan mendapat kejutan yang mengagumkan. Rakan sebilik saya yang berbakat seni telah menyiapkan projek terbaharunya—sebuah pokok Krismas seramik kira-kira setinggi lima puluh sentimeter telah menerangi bilik kami yang gelap dengan bintik-bintik warna yang berkilau-kilauan. Pada saat itu, saya seakan-akan telah pulang ke rumah!

Ketika Yakub melarikan diri daripada abangnya, Esau, dia juga mendapati dirinya di sebuah tempat yang asing dan sunyi. Semasa tertidur di tanah yang keras, dia menemui Tuhan dalam mimpinya. Masa itu Tuhan berjanji untuk memberi Yakub sebuah rumah. “Tanah tempat kamu berbaring ini akan Kuberikan kepadamu dan kepada keturunanmu,” kata-Nya kepada Yakub. “Melalui kamu dan melalui keturunanmu semua kaum bangsa di bumi akan memperoleh berkat” (Kejadian 28:13-14).

Sudah tentu bahawa Mesias yang dijanjikan adalah berasal daripada Yakub, iaitu Dia yang telah meninggalkan rumah-Nya untuk membawa kita kepada-Nya. “Jika Aku pergi dan menyediakan tempat untukmu, Aku akan pulang dan membawamu ke tempat-Ku, supaya di tempat Aku berada di situ juga kamu berada,” kata Yesus kepada para murid-Nya (Yohanes 14:3).

Pada malam bulan Disember itu, saya duduk di bilik saya yang gelap serta menatap pokok Krismas tersebut. Pada saat itu, saya memikirkan tentang Cahaya yang telah memasuki dunia ini untuk menunjukkan kita jalan pulang ke rumah.