“Kristus menyertaiku, Kristus di hadapanku, Kristus di belakangku, Kristus di dalamku, Kristus di bawahku, Kristus di atasku, Kristus di kananku, Kristus di kiriku …” Lirik lagu pujian ini ditulis oleh seorang biskop, Santo Patrick yang berbangsa Ireland pada abad kelima, dan bergema dalam minda saya apabila saya membaca catatan Matius tentang kelahiran Yesus. Ayat-ayat itu terasa seperti pelukan yang mesra, mengingatkan saya bahawa saya tidak keseorangan.
Catatan Matius memberitahu kita bahawa Tuhan yang tinggal di kalangan umat-Nya merupakan inti maksud hari Krismas. Dengan memetik nubuat Yesaya tentang seorang anak yang akan dipanggil Immanuel, yang bererti “Allah menyertai kita” (Yesaya 7:14), Matius merujuk kepada nubuat paling utama yang telah dipenuhi—Yesus yang dilahir melalui kuasa Roh Kudus, merupakan Tuhan yang menyertai kita. Kebenaran ini sangat penting sehingga Matius memulai serta mengakhiri Injilnya dengan kebenaran tersebut, dan menyimpulkannya dengan kata-kata Yesus kepada para pengikut-Nya: “Aku akan sentiasa bersamamu, hingga ke akhir zaman” (Matius 28:20).
Lirik Santo Patrick mengingatkan saya bahawa Kristus sentiasa bersama dengan orang percaya melalui Roh-Nya yang tinggal dalam diri mereka. Ketika saya cemas atau takut, saya boleh berpegang teguh pada janji-Nya kerana Dia tidak akan meninggalkan kita. Apabila saya tidak dapat tidur, saya boleh meminta Dia memberikan saya kedamaian-Nya. Ketika saya merayakan dan dipenuhi sukacita, saya boleh berterima kasih kepada-Nya kerana pekerjaan-Nya yang penuh kasih dalam hidup saya.
Yesus, Immanuel—Tuhan menyertai kita.