Saya memasukkan barang runcit ke dalam kereta dan memandu keluar dari tempat meletak kereta dengan berhati-hati. Tiba-tiba seorang lelaki meluru pergi ke lorong berjalan kaki di hadapan saya tanpa melihat kereta saya. Saya terus menekan brek, nyaris-nyaris melanggar lelaki tersebut. Dia berasa terkejut, lalu mengangkat muka sehingga mata kami bertembung. Pada saat itu, saya tahu bahawa saya ada satu pilihan: memberi respons dengan jelingan marah, ataupun memberi senyuman sebagai tanda maaf. Saya memilih untuk senyum kepadanya.

Kelegaan tampak pada wajah lelaki tersebut, malah tersungginglah di bibirnya sebuah senyuman sebagai tanda kesyukuran.

Amsal 15:13 berkata, “Hati yang gembira membuat wajah berseri, tetapi ketika hati berduka, patahlah semangat.” Adakah penulis mengarahkan kita supaya mengukir keriangan pada wajah setiap kali berhadapan dengan gangguan, kekecewaan, dan ketidakselesaan dalam kehidupan? Sudah tentu tidak! Ada masa untuk benar-benar meratap, berasa kecewa, bahkan marah kerana ketidakadilan. Tetapi dalam kehidupan seharian kita, senyuman boleh memberikan kelegaan, harapan, dan rahmat yang diperlukan untuk terus hidup.

Mungkin maksud amsal adalah senyuman yang merupakan penyataan yang lahir secara semula jadi daripada hati kita. “Hati yang gembira” adalah sentiasa dalam keadaan damai, tenang, dan berharap yang terbaik daripada Tuhan. Dengan hati yang sedemikian, disertai sukacita yang memenuhi seluruh hidup kita, kita boleh memberi respons kepada situasi yang mengejutkan dengan senyuman yang tulus ikhlas, mempelawa orang lain mengecap harapan dan kedamaian supaya mereka juga boleh mengalami hadirat Tuhan.