Orang yang mencapai tahap kemasyhuran atau reputasi yang luar biasa semasa mereka masih hidup sering disebut “legenda dalam masa mereka.” Seorang kawan yang bermain besbol secara profesional mengatakan dia bertemu dengan ramai orang di dunia sukan yang hanya “legenda dalam fikiran mereka sendiri.” Kebanggaan memutarbelitkan cara kita melihat diri kita, sementara kerendahan hati menawarkan perspektif yang realistik.
Penulis Amsal berkata, “Keangkuhan mendahului kehancuran, dan hati yang sombong mendahului kejatuhan” (16:18). Melihat diri dalam “cermin keegoan” akan memantulkan imej yang herot-benyot. Sikap yang meninggikan diri hanya akan menyebabkan kita mengalami kejatuhan yang berat.
Penawar untuk racun keangkuhan ialah kerendahan hati yang datang daripada Tuhan. “Lebih baik merendahkan diri dengan orang miskin, daripada membahagi-bahagikan jarahan dengan orang sombong” (ayat 19).
Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, “Sesiapa yang ingin menjadi orang besar dalam kalanganmu mestilah melayan kamu. Sesiapa yang ingin menjadi orang yang pertama dalam kalanganmu, haruslah menjadi hambamu. Demikianlah Anak Manusia juga datang bukan untuk dilayan, tetapi untuk melayan, dan untuk menyerahkan nyawa-Nya sebagai tebusan bagi ramai orang” (Matius 20:26-28).
Tidak salahnya untuk menerima penghargaan apabila kita memiliki pencapaian dan kejayaan. Cabarannya adalah tetap fokus kepada Tuhan yang berkata ketika memanggil kita mengikut Dia, “kerana Aku ini lemah lembut dan rendah hati, maka jiwamu akan tenang” (Matius 11:29).