Rakan-rakan Facebook saya sering menyiarkan video-video yang menarik tentang persahabatan haiwan yang mustahil, seperti video yang saya tonton baru-baru ini mengenai seekor anjing dan seekor babi yang tidak dapat dipisahkan, seekor rusa dan seekor kucing, dan seekor orang utan yang mengasuh beberapa ekor anak harimau.
Apabila saya melihat persahabatan luar biasa yang mengharukan seperti ini, saya diingatkan tentang keadaan di taman Eden. Di sana, Adam dan Hawa hidup harmoni dengan Tuhan dan satu sama lain. Oleh sebab Tuhan memberi mereka tumbuhan sebagai makanan, saya boleh membayangkan bahawa haiwan-haiwan juga hidup bersama secara damai (Kejadian 1:30). Tetapi adegan yang indah ini terganggu apabila Adam dan Hawa berdosa (3:21–23). Sekarang dalam hubungan antara manusia dan makluk-makluk ciptaan lain, kita melihat pergelutan dan konflik terus-menerus tercetus.
Namun nabi Yesaya meyakinkan kita bahawa pada suatu hari nanti, “Serigala akan tinggal bersama-sama domba, harimau bintang akan berbaring dengan anak kambing. Anak lembu, anak singa, dan ternakan yang tambun akan tinggal bersama-sama, dan kesemuanya akan dipimpin oleh seorang anak kecil” (Yesaya 11:6). Ramai orang mentafsirkan bahawa hari yang akan datang adalah seperti saat Yesus kembali untuk memerintah. Ketika Dia kembali, tidak ada lagi perpecahan dan “Tiadalah lagi kematian, kesedihan dan tangisan. Tiada lagi kesakitan, kerana segala yang lama telah lenyap” (Wahyu 21:4). Di bumi yang diperbaharui, ciptaan akan dipulihkan kepada keharmonian asal dan manusia daripada setiap suku, bangsa, dan bahasa akan datang bersama untuk menyembah Tuhan (Wahyu 7:9-10; 22:1–5).
Sehingga itu, Tuhan boleh membantu kita memulihkan hubungan yang retak dan membangun persahabatan yang baru dan mustahil dijalinkan.