Kemasukan pelarian secara besar-besaran ke komuniti kami telah mempertingkatkan jumlah jemaah di gereja-gereja kawasan kami. Namun pertumbuhan ini membawa cabaran. Ahli-ahli gereja mesti belajar mengalu-alukan kedatangan golongan baru ini kerana mereka sedang menyesuaikan diri dengan budaya yang asing, bahasa baru, dan cara penyembahan yang berbeza. Semua perubahan ini boleh mewujudkan situasi yang janggal.
Salah faham dan perselisihan berlaku di mana-mana jika wujudnya manusia. Gereja tidak terkecuali. Jika kita tidak mengendalikan perbezaan kita dengan cara yang sihat, keadaan seperti ini boleh menyebabkan perpecahan.
Semasa jumlah jemaah pada zaman awal di Yerusalem semakin bertambah, pertikaian tercetus akibat perbezaan budaya. Orang Yahudi yang berbahasa Yunani menyuarakan aduan mereka terhadap orang Yahudi yang berbahasa Aramia. Golongan balu di kalangan orang Yunani “telah diabaikan dalam pengagihan bantuan harian” (Kisah Para Rasul 6:1). Jadi para rasul berkata, “pilihlah tujuh orang dalam kalangan saudara yang mempunyai nama baik dan dipenuhi Roh Kudus serta kebijaksanaan” (ayat 3). Semua tujuh orang yang dipilih mempunyai nama Yunani (ayat 5). Dengan kata lain, mereka adalah orang Yahudi yang berbahasa Yunani, ahli-ahli kumpulan yang diabaikan. Maka mereka lebih memahami masalah ini. Kemudian para rasul berdoa untuk mereka dan gereja berkembang (ayat 6-7).
Pertumbuhan membawa cabaran, kerana ini meningkatkan interaksi merentasi halangan-halangan tradisional. Tetapi sambil kita mencari bimbingan Roh Kudus, kita akan menemukan penyelesaian yang kreatif supaya masalah itu berpotensi menjadi peluang bagi pertumbuhan yang lebih besar.