Bunyi ‘bing’ yang biasa didengar apabila e-mel yang baru tiba menarik perhatian saya ketika saya menulis di komputer saya. Biasanya saya cuba menolak godaan untuk memeriksa setiap e-mel, tetapi subjek e-mel ini adalah terlalu menarik: “Anda merupakan suatu berkat.”
Dengan penuh minat, saya membukanya dan mendapat tahu bahawa seorang saudari yang tinggal jauh memberitahu bahawa dia sedang berdoa untuk keluarga saya. Setiap minggu, dia meletakkan sekeping gambar kad Krismas dalam “Mangkuk Berkat” atas meja dapurnya dan berdoa untuk keluarga itu. Dia menulis, “Aku bersyukur kepada Allah setiap kali aku teringat akan kamu” (Filipi 1:3), kemudian menonjolkan usaha kami yang berkongsi kasih Tuhan kepada orang lain—“kerjasama” kami dalam Injil.
Melalui surat kiriman rakan saya, kata-kata Rasul Paulus kepada orang Filipi juga seperti e-mel yang dihantar ke dalam “peti masuk” saya, mewujudkan kegembiraan yang sama dalam hati saya seperti pembaca pada abad pertama apabila mereka menerima nota ucapan terima kasih daripada Paulus. Nampaknya Paulus menjadikannya satu kebiasaan untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka yang bekerja bersamanya. Frasa yang sama menjadi pembuka dalam suratnya: “Pertama sekali, aku bersyukur kepada Allahku melalui Yesus Kristus kerana kamu sekalian, disebabkan seluruh dunia memperkatakan imanmu” (Roma 1:8).
Pada abad pertama, Paulus memberkati rakan sekerjanya dengan nota terima kasih diiringi doa untuk mereka. Pada abad ke-21, kawan saya menggunakan Mangkuk Berkat untuk membawa sukacita ke dalam kehidupan saya. Bagaimanakah kita boleh mengucap terima kasih kepada mereka yang melayani dalam misi Tuhan bersama kita hari ini?