Baru-baru ini seorang rakan bersedia untuk berpindah ke sebuah bandar kira-kira sejauh 1,600 kilometer dari tempat tinggalnya sekarang. Dia dan suaminya membahagikan kerja untuk berpindah dalam masa yang singkat. Suaminya mencari rumah baru sebagai tempat kediaman mereka, sementara si isteri membungkus barang-barang mereka. Saya kagum akan keupayaannya untuk berpindah tanpa melihat dahulu kawasan tersebut atau mengambil bahagian dalam pencarian rumah, dan bertanya bagaimana dia boleh melakukannya. Dia mengakui cabaran tersebut tetapi dia berkata dia boleh mempercayai suaminya kerana selama bertahun-tahun mereka bersama, suaminya amat memahami keinginan dan keperluannya.

Di sebuah ruang besar tingkat atas, Yesus bercakap dengan murid-murid-Nya tentang pengkhianatan dan kematian-Nya yang akan datang. Waktu paling gelap dalam kehidupan Yesus di dunia, dan murid-muridnya, akan didedahkan di hadapan mereka. Maka Yesus menghiburkan mereka dengan janji bahawa Dia akan menyediakan tempat untuk mereka di syurga, sama dengan suami kawan saya yang menyediakan rumah baru untuk keluarga mereka. Ketika murid-murid bertanya kepada Yesus, Dia menyuruh mereka mengingat kembali saat-saat mereka bersama dan mukjizat-mukjizat yang disaksikan mereka. Walaupun mereka akan bersedih atas kematian dan keberangkatan Yesus, Dia mengingatkan mereka bahawa Dia boleh dipercayai seperti yang dijanjikan-Nya.

Biarpun di tengah-tengah saat yang gelap dalam kehidupan, kita boleh mempercayai Tuhan akan memimpin kita ke tempat yang baik. Semasa kita berjalan bersama-sama dengan Dia, kita juga akan belajar untuk semakin mempercayai kesetiaan-Nya..