Sewaktu kecil, saya menanti-nantikan kebaktian malam Ahad di gereja saya. Malam-malam itu sangat menarik. Kami sering berpeluang mendengar perkongsian daripada para mubaligh dan pengkhutbah undangan pada ibadat waktu malam. Mesej mereka memberi inspirasi kepada saya kerana kerelaan mereka untuk meninggalkan keluarga dan kawan-kawan, bahkan kadang-kadang, rumah, harta benda dan kerjaya mereka untuk pergi ke tempat yang aneh, asing, dan berbahaya untuk melayani Tuhan.

Seperti para mubaligh tersebut, Elisa meninggalkan banyak perkara untuk mengikut Tuhan (1 Raja-Raja 19:19–21). Sebelum Tuhan memanggilnya ke dalam pelayanan melalui Elia, kita tidak mempunyai banyak maklumat mengenai Elisa—hanya tahu bahawa dia seorang petani. Apabila nabi Elia bertemu dengannya di tempat yang dia sedang membajak, Elia terus melemparkan jubahnya ke atas bahu Elisa (sebagai simbol peranannya sebagai nabi) dan memanggil dia melayani Tuhan. Elisa hanya ada satu permintaan, iaitu memberikan ciuman selamat tinggal kepada ibu dan bapanya, dengan segera dia menyembelihkan lembu-lembu, membakar peralatan membajaknya dan mengucapkan selamat tinggal kepada orang tuanya, kemudian dia pun mengikut Elia.

Walaupun tidak ramai antara kita dipanggil untuk meninggalkan keluarga dan rakan-rakan untuk melayani Tuhan sebagai mubaligh sepenuh masa, Tuhan mahu kita mengikut Dia dan “setiap orang harus hidup dalam keadaan yang ditetapkan Tuhan untuk [kita] ketika Allah memanggil [kita]” (1 Korintus 7:17). Seperti pengalaman saya sendiri, melayani Tuhan boleh penuh keseronokan dan cabaran tidak kira di mana pun kita berada—walaupun kita tidak pernah meninggalkan rumah.