Saya beribadat di sebuah gereja yang terletak di kawasan yang luas dan terbuka—tempat yang jarang dijumpai di pulau Singapura (negara ini kira-kira hanya sepanjang 40 kilometer dan selebar 24 kilometer). Beberapa ketika dahulu, orang dari luar negara yang bekerja di negara saya mula berkelah di tanah milik gereja saya pada setiap hari Ahad.

Ini menimbulkan pelbagai tanggapan daripada jemaah-jemaah gereja. Sesetengah orang bimbang tentang sampah yang akan ditinggalkan oleh para pengunjung. Tetapi yang lain melihatnya sebagai satu kesempatan yang diberikan Tuhan untuk memberi layanan baik kepada sekelompok orang yang tidak dikenali—tanpa perlu pergi ke luar kawasan gereja pun!

Orang Israel mesti pernah menghadapi isu yang sama pada zaman mereka. Selepas mereka menetap di tanah baru, mereka terpaksa bergelut dengan isu untuk berhubung dengan orang lain. Tetapi Tuhan secara jelas memerintah mereka menganggap pendatang seperti orang mereka sendiri, dan mengasihi mereka seperti diri mereka sendiri (Imamat 19:34). Kebanyakan undang-undang Tuhan menyebutkan tentang para pendatang secara khusus: mereka tidak harus dianiaya atau ditindas, sebaliknya mereka perlu dikasihi dan dibantu (Keluaran 23:9; Ulangan 10:19). Berabad-abad kemudian, Yesus memerintah kita melakukan hal yang sama: mengasihi sesama manusia seperti kita mengasihi diri kita (Markus 12:31).

Semoga kita mempunyai hati Tuhan untuk mengasihi orang lain seperti kita mengasihi diri kita, mengingati bahawa kita juga orang asing di bumi ini. Namun kita telah dikasihi sebagai umat Tuhan, diperlakukan sebagai milik-Nya.