Hadassah sering berada dalam ketakutan. Hadassah, seorang gadis Yahudi muda yang hidup pada abad pertama, adalah watak fiksyen dalam buku Francine Rivers, A Voice in the Wind. Setelah Hadassah menjadi hamba di rumah orang Roma, dia takut dianiayai kerana imannya dalam Kristus. Dia tahu bahawa orang Kristian dihina, dan ramai orang yang dihukum mati atau dibuang ke dalam arena singa. Adakah dia akan mempertahankan kebenaran dengan berani apabila dia diuji?
Apabila kejadian yang paling ditakutinya menjadi kenyataan, majikan perempuannya dan pegawai-pegawai Roma lain yang membenci agama Kristian berhadapan dengannya. Kini dia mempunyai dua pilihan: meninggalkan imannya dalam Kristus atau dibawa ke arena. Kemudian, ketika dia mengisytiharkan Yesus sebagai Kristus, ketakutannya hilang dan dia menjadi berani walaupun berhadapan dengan kematian.
Alkitab mengingatkan kita bahawa kadang-kadang kita akan menanggung penderitaan kerana melakukan apa yang betul—sama ada kerana berkongsi Berita Baik atau mengamalkan kehidupan yang suci, semua ini bertentangan dengan nilai-nilai dunia hari ini. Kita diberitahu agar “jangan takut” (1 Petrus 3:14), melainkan “hormatilah Kristus sebagai Tuhan” dalam hati kita (ayat 15). Pergelutan utama Hadassah berlaku dalam hatinya. Apabila dia akhirnya membuat keputusan untuk memilih Yesus, dia memperoleh keberanian untuk menawan ketakutan.
Apabila kita membuat keputusan untuk menghormati Kristus, Dia akan membantu kita menjadi berani dan mengatasi ketakutan kita pada masa kesukaran.