Dalam perjalanan pulang dari gereja, anak perempuan saya duduk di tempat duduk belakang kereta sambil menikmati biskut kecilnya yang berbentuk ikan, manakala anak-anak yang lain pula meminta dia untuk berkongsi. Setelah melihat anak perempuan saya memegang biskutnya dengan erat, saya pun cuba menarik perhatiannya dengan bertanya, “Apakah yang kamu belajar di sekolah minggu hari ini?” Dia berkata mereka telah membuat sebakul roti dan ikan kerana seorang budak memberi Yesus lima buku roti dan dua ekor ikan. Kemudian Yesus menggunakan makanan tersebut untuk memberi makan kepada lebih daripada 5,000 orang (Yohanes 6:1-13).
“Bagusnya budak lelaki itu berkongsi makanannya. Adakah anda berfikir bahawa Tuhan juga mengharapkan anda mengongsikan biskut anda?” saya bertanya. “Tidak, Mama,” jawabnya.
Saya cuba menggalakkan dia supaya tidak menyimpan semua biskut untuk diri sendiri. Namun dia tidak mahu mendengar kata saya. “Tidak cukup pun untuk semua orang!”
Berkongsi adalah sukar. Lebih mudah kita memegang apa yang dilihat di hadapan kita. Mungkin kita melakukan perhitungan dan memberi alasan bahawa tidak cukup untuk semua orang. Ada juga andaian bahawa jika saya memberi, saya pula akan kekurangan.
Paulus mengingatkan kita bahawa semua yang kita miliki berasal daripada Tuhan, yang ingin memperkaya kita “dalam segala hal, sehingga [kita] dapat terus-menerus bermurah hati” (2 Korintus 9:10–11). Matematik di syurga bukan pengiraan kekurangan, tetapi apa yang anda terima dengan kelimpahan. Kita boleh berkongsi dengan sukacita kerana Tuhan berjanji untuk menjaga kita apabila kita bermurah hati terhadap orang lain.