Hari ini merupakan hari pertama musim bunga di hemisfera utara. Jika anda tinggal di Australia, maka hari ini ialah hari pertama musim luruh—ekuinoks musim bunga di hemisfera utara, dan ekuinoks musim luruh di hemisfera selatan. Ini bermaksud, matahari bersinar langsung pada khatulistiwa pada hari ini, dan masa siang dan malam adalah hampir sama di seluruh dunia.

Musim yang baru adalah penting bagi ramai orang. Sesetengah orang menunggu-nunggu ketibaan musim baru dengan harapan baru. Mungkin anda yang tinggal di Wisconsin, Amerika Syarikat sedang menandakan kalendar untuk menunggu kedatangan musim bunga yang juga menandakan pengakhiran musim sejuk. Atau jika anda tinggal di Melbourne, anda mungkin tidak sabar untuk menunggu ketibaan musim luruh yang membawa kelegaan daripada sinaran matahari Australia yang terik.

Kita juga melalui musim kehidupan yang tiada kaitan dengan cuaca. Penulis kitab Pengkhutbah mengatakan bahawa bagi sesuatu apa pun di bawah kolong langit ada waktunya—waktu yang ditentukan oleh Tuhan dalam kehidupan kita (Pengkhutbah 3:1-11).

Musa berkata tentang satu era baru dalam hidupnya setelah dia memimpin orang Israel menyeberangi padang gurun (Ulangan 31:2), dan dia harus menyerahkan peranannya sebagai pemimpin kepada Yosua. Paulus menghadapi waktu kesunyian ketika ditahan di Roma—dia minta dikunjungi tetapi dia menyedari bahawa Tuhan menyertai dia (2 Timotius 4:17).

Tidak kira apa pun waktu dan musim hidup kita, marilah kita bersyukur kepada Tuhan kerana kebesaran, pertolongan dan penyertaan-Nya.