Dalam ingatan, saya selalu berkeinginan untuk menjadi seorang ibu. Saya pernah bermimpi tentang masa saya berkahwin, hamil dan menggendong bayi saya untuk kali pertama. Selepas saya betul-betul berkahwin, saya dan suami tidak menangguhkan waktu untuk mengembangkan keluarga kami. Tetapi dengan setiap hasil ujian kehamilan yang negatif, kami menyedari bahawa kami menghadapi masalah kemandulan. Selama berbulan-bulan kami telah pergi berjumpa doktor, menjalani ujian demi ujian, dan menitiskan air mata. Kami berada di tengah badai. Kemandulan merupakan suatu kenyataan yang sukar diterima dan pengalaman ini membuatkan saya mempersoalkan kebaikan dan kesetiaan Tuhan.

Apabila saya merenungkan perjalanan kami, saya berfikir tentang cerita murid-murid Yesus yang terperangkap dalam ribut badai sewaktu menyeberangi tasik dalam Yohanes 6. Sewaktu mereka bergelut menghadapi ombak yang bergelora dalam kegelapan, Yesus muncul tanpa disangka sambil berjalan di atas air. Dia menenangkan ribut badai dan ombak yang bergelora dengan kehadiran-Nya sambil berkata, “Jangan takut, Aku Yesus!” (ayat 20).

Seperti murid-murid Yesus, saya dan suami tidak tahu apa yang akan datang dalam ribut badai, tetapi kami menemukan penghiburan apabila kami mengenal Tuhan dengan lebih dalam sebagai Peribadi yang sentiasa setia dan benar. Walaupun kami tidak mendapat anak yang kami impikan, namun kami mendapati bahawa dalam semua pergelutan yang kami hadapi, kami dapat mengalami kuasa kehadiran-Nya yang memberikan ketenangan. Kerana Tuhan sentiasa ada dan bekerja dengan luar biasa dalam hidup kita, maka kita tidak perlu bimbang.