Pada bulan Ogos 2015, ketika saya sedang bersiap untuk memasuki sebuah universiti yang mengambil masa beberapa jam perjalanannya dari rumah, saya menyedari bahawa saya mungkin tidak akan berpindah pulang ke rumah selepas penamatan kursus ini. Banyak hal yang timbul dalam fikiran saya. Patutkah saya meninggalkan rumah? Keluarga saya? Gereja saya? Bagaimanakah jika Tuhan memanggil saya pergi ke negeri atau negara lain selepas ini?
Seperti Musa, ketika Tuhan menyuruh dia pergi “kepada Firaun untuk membawa orang Israel, iaitu umat-[Nya], keluar dari Mesir” (Keluaran 3:10), saya juga berasa takut. Saya tidak mahu meninggalkan zon keselesaan saya. Musa memang mentaati dan mengikuti Tuhan, tetapi terlebih dahulu dia mempersoalkan Tuhan dan meminta agar orang lain yang diutus pergi (Keluaran 3:11-13; 4:13).
Dalam kisah Musa, kita boleh melihat apa yang kita tidak harus lakukan apabila kita mendengar panggilan Tuhan yang jelas. Kita boleh berusaha menjadi seperti murid-murid Yesus. Apabila Yesus memanggil mereka, mereka meninggalkan segala yang dimiliki mereka dan mengikuti Dia (Matius 4:20-22; Lukas 5:28). Ketakutan itu ialah perkara biasa, tetapi kita boleh mempercayai rancangan Tuhan.
Berada jauh dari rumah bagi saya adalah sesuatu yang sukar. Tetapi apabila saya terus mencari Tuhan, Dia membuka pintu bagi saya yang mengesahkan bahawa saya berada di tempat yang betul.
Apabila kita dipimpin keluar dari zon keselesaan, kita boleh pergi seperti Musa yang tidak rela, atau seperti murid-murid yang rela mengikut Yesus ke mana-mana yang dipimpin-Nya. Ada kalanya ini bererti bahawa kita perlu meninggalkan kehidupan yang selesa sejauh ratusan atau ribuan kilometer. Tidak kira betapa sukar keadaan kita, mengikuti Yesus memang selalu berbaloi.