Lygon Stevens suka mendaki gunung dengan abangnya Nick. Mereka berdua merupakan pendaki yang berpengalaman dan pernah sampai ke puncak Gunung McKinley (Denali), puncak tertinggi di Amerika Utara. Kemudian, pada Januari 2008, mereka tertimbus oleh runtuhan salji di sebuah gunung di Colorado. Akibatnya Nick tercedera dan Lygon yang berumur 20 tahun terbunuh. Apabila Nick menemukan jurnal adik perempuannya dalam salah satu beg galasnya, dia sangat terhibur dengan isinya. Jurnal tersebut penuh dengan renungan, doa dan pujian kepada Tuhan seperti yang tertulis dalam satu ungkapan: “Saya ialah ciptaan seni, ditandatangani oleh Tuhan. Tetapi karya-Nya belum selesai; kenyataannya, Dia baru memulakannya … Cap jari Tuhan boleh dikesan dalam hidup saya. Tidak akan ada seorang lagi seperti saya … Saya ada tugas yang perlu saya lakukan dalam hidup ini dan tiada sesiapa pun yang lain dapat melakukannya.”

Walaupun Lygon tidak lagi wujud di bumi secara fizikal, namun melalui warisan hidup dan jurnalnya, dia terus memberi inspirasi dan cabaran kepada mereka yang masih hidup.

Kerana kita diciptakan menurut gambaran dan rupa Tuhan (Kejadian 1:26), setiap orang merupakan “ciptaan seni, ditandatangani oleh Tuhan.” Seperti yang dikatakan oleh rasul Paulus, “Kerana kita ini buatan-Nya, dicipta dalam Kristus Yesus untuk melakukan perbuatan baik, yang telah disediakan terdahulu oleh Allah untuk kita lakukan” (Efesus 2:10).

Pujilah Tuhan kerana Dia memakai setiap kita, dalam masa dan cara-Nya sendiri, untuk menolong orang lain.